Pertama kali sepanjang tempoh tiga tahun ditubuhkan, Kugiran Masdo bakal membuat persembahan sempena festival muzik tahunan di Chongqing, China pada 25 Oktober ini.

Dalam festival berkenaan, Kugiran Masdo antara penyanyi dari Malaysia yang dijemput ke acara tersebut.

"Alhamdulillah, sepanjang usia Kugiran Masdo tiga tahun ini pencapaian terbesar yang pernah diraih dan ia menjadi persembahan sulung kami di peringkat antarabangsa.

"Selain Masdo, sebuah kumpulan tempatan lain akan turut bersama memeriahkan acara tersebut iaitu Nadir.

"Secara tidak langsung sebenarnya kami berpeluang memperkenalkan bahasa dan muzik Malaysia kepada peminat dari luar negara," kata wakil Kugiran Masdo kepada Gempak.

Kugiran Masdo yang dianggotai Ali Sariah (vokalis), Asmawi (gitaris), Putu Ceri (bass) dan Azham (dram) bakal berada selama hampir seminggu di negara republik itu.

Dalam perkembangan lain, Kugiran Masdo akan turut beraksi pada Freedom Festival yang bakal berlangsung pada 3 November (Sabtu) ini di Bandar Malaysia, Jalan Lapangan Terbang Lama Kuala Lumpur.

Selain Kugiran Masdo, Freedom Festival turut dimeriahkan oleh barisan artis popular antaranya Yuna, Datuk Zainal Abidin, Hujan, Resh, Salam Musik dan Pesawat.

Freedom Festival bakal berlangsung dari pukul 10 pagi hingga lewat malam.