Penyanyi utama kumpulan muzik Bunkface, Sam Baharom mengakui mereka ingin bersaing dengan penyanyi dari golongan 'Budak Baru Nak Up' (BBNU).

Menurut Sam, kumpulan Bunkface tidak ingin dipanggil sebagai kumpulan lejen.

"Bunkface masih ingin bersaing dengan 'Budak Baru Nak Up' (BBNU) seperti Ismail Izzani dan ramai lagi.

"Kami tidak ingin berada di zon selesa serta dikenali dengan muzik yang sama.

"Kami ingin mendalami minat anak muda sekarang supaya dapat menepati citarasa genre muzik mereka," katanya ketika ditemui di pelancaran single terbaru mereka yang berjudul Shiver.

Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd Baharom berkata, single Shiver merupakan antara lagu pertama yang dihasilkan untuk album terbaru yang akan datang.

"Single Shiver ini sebenarnya sudah empat tahun lepas dihasilkan sejak isteri saya masih mengandung.

"Shiver ini merupakan satu langkah besar Bunkface untuk melakukan eksperiman dalam genre baru.

"Kami rasa tidak adil jika Bunkface hanya kekal dengan satu genre muzik sahaja.

"Kami juga percaya genre itu tidak wujud kerana setiap orang tidak hanya mempunyai satu band sahaja di dalam senarai lagu masing-masing," katanya kepada Gempak.

Single terbaru ini merupakan karya ciptaan sepenuhnya oleh Sam serta dibantu penerbit bersama, Izzy Musa.

Shiver telah dilancarkan di semua platform muzik fizikal dan digital pada 18 Oktober lalu.

Shiver juga bakal dimuatkan di dalam album terbaru Bunkface yang bakal dilancarkan pada hujung tahun ini.

Di samping itu, lagu Kembali serta Apa Pun Tak Boleh, hasil kolaborasi bersama bintang lagend Pop Yeh Yeh, Datuk Jeffrydin dan Caprice turut berada di dalam album tersebut.