Percaya atau tidak kita sebenarnya mempunyai ramai pelajar yang berbakat dalam menghasilkan filem pendek bertaraf antarabangsa sepertimana karya tempatan berjudul Falasi yang berjaya menembusi pasaran Hollywood.

Pencapaian awal karya arahan pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Adam Taufiq Suharto suatu yang dibanggakan buat Malaysia yang berjaya mencipta nama di pentas dunia.

Filem pendek tersebut dipilih sebagai finalis pada acara Short+Sweet International Film Festival Hollywood.

Menariknya, ia akan ditayangkan di Marilyn Monroe Theatre, West Hollywood pada 20 Oktober ini.

Sebelum ini, Falasi menerima beberapa anugerah utama dalam Festival Short+Sweet Film Malaysia 2018 yang berlangsung di Kuala Lumpur Performing Arts Centre pada 7 hingga 8 September lalu.

Filem pendek ini berjaya melepasi peringkat saringan akhir bersama 13 filem pendek yang lain yang juga ditayangkan sepanjang dua hari acara festival tersebut.

Pada majlis anugerah itu, Falasi menerima empat anugerah iaitu ‘Best Glitz and Glamour’ (kostum dan solekan), Skrip Terbaik, Pengarah Terbaik dan Produksi Terbaik Keseluruhan.

Falasi juga pernah menang anugerah ‘Best Narrative Films’ pada Asuan Youth Indie Film Festival (AYIFF) 2018.

Selain Adam yang bertindak sebagai produser, pengarah, penulis dan penyunting, karya Falasi disertai Ashrafiqal Aleef (produser, pengarah fotografi dan penyunting bersama), Fazreen Zulkifli (pembantu pengarah fotografi), Mohamed Ainuddin Isahak (juru audio), Sadiq M. Jamil (solekan kesan khas) dan ia dibintangi Eirsyad Qawiem, Sadiq dan Imanisa.

Teks oleh: Elrafaei Sapi