Buat Konsert Dalam Hangar Lapangan Terbang? Ini Jawab Penganjur Freedom Festival

Hiburan
Buat Konsert Dalam Hangar Lapangan Terbang? Ini Jawab Penganjur Freedom Festival
Lain daripada yang lain! Freedom Festival memilih hangar lapangan terbang pertama Malaysia, Lapangan Terbang Sungai Besi sebagai lokasi acara yang bakal berlangsung pada 3 November ini.

Kata wakil penganjur Freedom Festival, Adam Sofian dan Syamil Yusof, pemilihan lokasi terbabit dirasakan unik dan bertepatan dengan konsep festival itu sendiri.

"Lokasi di Bandar Malaysia, Lapangan Terbang Sungai Besi ini sangat unik dan mempunyai kawasan yang terbentang luas. 

"Sesuai untuk pengunjung yang akan hadir pada festival selama sehari itu.

"Alamat pun mudah, lokasi yang sangat strategik di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur dan mempunyai pelbagai kemudahan.

"Malah, lokasi ini juga mempunyai nilai sejarah dan nostalgia apatah ia turut menempatkan pesawat pertama Malaysia yang dinaiki Tunku Abdul Rahman, Lang Rajawali suatu ketika dahulu," katanya kepada Gempak.



Freedom Festival merupakan acara sulung yang dianjurkan dan menampilkan barisan artis popular seperti Hujan, Yuna, Kugiran Masdo, Reshmonu, Datuk Zainal Abidin, Salam Musik, Pesawat dan ramai lagi.



Malah, pengunjung juga tidak perlu membayar tiket masuk untuk mengunjungi acara terbabit dan menyaksikan konsert pada sebelah petang dan malam.

Selain konsert, Freedom Festival menyediakan bazar produk tempatan, pesta makanan, pameran seni, karya grafiti dan pameran pesawat udara.

Freedom Festival akan berlangsung pada 3 November (Sabtu) dari pukul 10 pagi hinggga lewat malam.

Artikel Berkaitan