Jika sebelum ini Tauke lebih dikenali menerusi kumpulan Jambu tapi kali ini, dia kembali bersama rakan pelawak, Man Raja Lawak bersaing untuk musim terbaru, Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018).

Tauke mengakui penyertaannya semula dalam program realiti pertandingan komedi popular ini sedikit sebanyak membawa nostalgia terhadap rakan seperjuangannya, Allahyarham Yussry Edoo.

"Bagi saya cabaran kali ini sama seperti musim lalu cuma apa yang berlaku nanti belum tahu.

"Setiap tahun pastinya formula berlainan dan rentak juga berbeza. Alhamdulillah pada tahun ini saya bersama Man masih diberi kepercayaan menghiburkan orang ramai," katanya kepada Astro Gempak.

Tauke berpandangan adanya MLM 2018 bermakna pelawak tempatan masih diberi peluang untuk berkarya.

"Apabila dapat rakan pasukan baru, kami cuba mewujudkan keserasian sebagaimana Jambu dahulu. Bagi kami, rasa serasi bersama ada tapi penonton yang menilai. Keserasian itu kita perlu buat," katanya.

Ujarnya, pengalaman mereka sebelum ini ketika membuat persembahan memudahkan antara satu sama lain saling faham.

"Saya sendiri tahu rentak dia. Kekuatan Man, dia juga seorang 'feeder' sebelum ini dan merupakan seorang pelawak 'stand up' yang baik. Jadi, strategi kami adalah menjadi 'double killer'," katanya.

Jelasnya, dia bersama Man yang menggelarkan nama kumpulan mereka iaitu Taman, sudah banyak kali berjumpa untuk melakukan latihan bersama.

"Kami sebenarnya ada banyak idea cuma kita akan pilih yang terbaik mengikut tema setiap minggu.

"Pengalaman kami juga dah ada tapi belatih belum lagi sepenuhnya. Kami hanya duduk bersembang berbincang mengenai idea tersebut," katanya.

Meskipun ketika bersama Jambu pernah meraih pencapaian terbaik di tempat kedua pada MLM 2011 dan keempat pada musim ketiga selepas itu, Tauke mengakui saingan 14 peserta untuk musim baru ini memberi suatu cabaran pada mereka.

"Saingan ramai sebab kita juga ada muka baru. Sebenarnya, muka baru lebih berbahaya kerana kita tidak tahu dia pergi macamana dibandingkan orang lama, kita dah tahu persembahan mereka sebelum ini.

"Apapun, pada saya kehadiran muka baru dalam MLM 2018 jangan dipandang rendah," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak