Ramai yang mengabaikan simptom denggi dan menganggapnya sebagai demam biasa. Hakikatnya denggi bukanlah demam biasa. Demam ini jika dibiar boleh membawa maut.

Demam Denggi disebabkan jangkitan virus yang tersebar melalui gigitan nyamuk aedes aegypti dan aedes albopictus yang telah dijangkiti. Semua orang boleh dijangkiti termasuk artis dan orang kenamaan.

Antara artis tempatan yang pernah dijangkiti demam ini termasuklah:

Syamsul Yusuf


Pengarah yang cukup terkenal dengan buah tangan pecah panggung ini pernah terlantar di sebuah pusat perubatan terkenal pada Mac 2014. Malah, upacara akad nikahnya bersama Puteri Sarah dilakukan ketika Syamsul belum pulih sepenuhnya daripada penyakit ini. Antara simptom Denggi yang dialami pengarah filem Munafik dan KL Gangster termasuklah sakit kepala dan demam teruk melebihi 3 hari.

Shaheizy Sam


Begitu juga dengan pelakon hebat Shaheizy Sam yang turut mengalami demam berpanjangan selain hilang selera makan dan minum.

Rita Rudiani


Pelakon terkenal, Rita Rudaini disahkan mengalami demam Denggi pada April 2016 selepas mengadu demam dan menggigil.

Apa yang dialami oleh para selebriti ini adalah tanda biasa demam Denggi. Jangan abaikan tanda-tanda ini kerana anda mungkin terkena demam denggi berdarah yang boleh membawa maut. Demam Denggi berdarah inilah yang meragut nyawa pelawak tempatan Din Beramboi pada April 2010 yang lalu.
Demam Denggi berdarah merupakan demam Denggi yang teruk disebabkan oleh jangkitan virus Denggi. Simptomnya sama dengan demam Denggi biasa cuma lebih berbahaya kerana berlaku radang di salur darah iaitu berlaku kebocoran saluran darah sehingga mengurangkan isipadu darah dan menyebabkan muntah, pitam serta sakit di bahagian abdomen. Dalam kes lebih teruk, boleh berlaku renjatan (shock) dan menyebabkan kematian.

Adakah anda mengalami tanda-tanda ini?

-Demam berpanjangan yang mencapai suhu 40 – 41°C, dan selalunya akan berlarutan selama 2 hingga 7 hari. Kebiasaannya demam ini bermula dengan demam kuat yang mengejut dan sakit kepala, sakit pada bahagian mata serta otot dan sendi.

-Sesetengah yang lain mengalami ruam merah pada kulit yang akan tumbuh pada hari ke 3 dan 4 selepas bermulanya demam.

-Muntah berpanjangan, sakit perut dan kurang selera makan.

-Kanak-kanak di bawah usia 6 tahun mungkin mengalami sawan.

via GIPHY

-Kurang bermaya, sawan, dan sesak nafas.

-Pendarahan: daripada gusi/hidung, muntah darah, najis berdarah dan tanda-tanda merah pada kulit.

Jika YA, segeralah berjumpa doktor, rehat dan banyakkan minum air kerana anda mungkin mengalami demam Denggi.

Elakkan diri dan keluarga daripada gigitan nyamuk aedes dengan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di sekeliling rumah seperti bekas yang boleh menakung air hujan atau lebihan air, terutamanya baldi, tayar lama, pasu, bekas plastik dan tong serta bekas makanan haiwan peliharaan. Jika tidak boleh dimusnahkan, letakkan bahan pembunuh jentik-jentik di dalam bekas tersebut.

via GIPHY


Cara-cara mengelakkan gigitan nyamuk aedes:

1. Pakai seluar panjang dan baju berlengan panjang yang berwarna cerah
2. Gunakan repelen
3. Gunakan semburan aerosol
4. Pasang jejaring penghalang serangga (nyamuk) di tingkap dan pintu kediaman.
5. Elakkan berada di luar kediaman pada waktu puncak nyamuk aedes menggigit, iaitu pada awal pagi dan lewat senja.
6. Tidur dalam kelambu

Untuk ketahui lebih tentang Cari dan Musnah nyamuk aedes, sila layari https://www.facebook.com/caridan.musnah

Kredit foto: Shutterstock, Instagram @syamsulyusoffilm, @shaheizy_sam & @ritrud727