Pernah menggondol trofi Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH tahun lalu, kerjaya lakonan Sweet Qismina bergerak perlahan.

Mengakui perkara tersebut, gadis ini mempunyai alasan tersendiri untuk tidak terlalu aktif dalam dunia lakonan.

"Saya masih belajar dalam jurusan Komunikasi Massa (Perhubungan Awam) di peringkat ijazah sarjana muda. Saya tidak betul-betul aktif kerana membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya.

"Selepas ramai orang ingat saya berehat, kini saya menangguhkan pengajian selama satu semester dan menumpukan perhatian sebentar terhadap beberapa projek yang memerlukan komitmen dalam jangka masa panjang.

"Saya sayangkan pelajaran tetapi saya juga tidak mahu terus melupakan minat dalam bidang lakonan. Saya mencuba untuk membahagikan masa sebaik mungkin," katanya.

Tegas Sweet, dia tidak akan berhenti belajar kerana itu merupakan satu tanggungjawab yang harus dia lunaskan.

"Saya akui, apabila terlibat dengan penggambaran, saya sudah rasa selesa, walhal saya kini sedang menangguhkan pengajian.

"Saya harus mengumpukan kekuatan dan saya tak akan berhenti belajar. Apa yang terjadi, pelajaran tetap penting dan saya harus menggenggam segulung ijazah," katanya lagi.

Sweet ditemui di set penggambaran webseries Dua di Seksyen 7, Shah Alam pada Isnin.

Menerusi drama bersiri arahan Michael Ang ini, Sweet memegang watak seorang pereka fesyen bernama Luna.

Selain Sweet, webseries ini turut menampilkan Ben Amir, Sarifah Sakinah dan Scha Alyahya.

Drama bersiri Dua ini bakal ditayangkan di Gempak pada awal November ini.