Penyanyi remaja dan bintang program Big Stage, Wani Kayrie, 18 merancang untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang nyanyian sebelum menceburkan diri dalam dunia lakonan.

Menurut Wani, dia mempunyai minat untuk berlakon tetapi belum tiba masa yang sesuai.

"Saya memang berminat untuk berlakon, tetapi buat masa sekarang, saya mahu tumpukan sepenuh perhatian dalam bidang nyanyian.

"Apa yang penting, saya harus mengukuhkan nama saya dalam industri hiburan terlebih dahulu.

"Biar saya fokus dan lalui satu per satu, lepas itu barulah saya libatkan diri dalam bidang lakonan," katanya.

Wani berkata demikian ketika ditemui di Gempak Movie Night Out tayangan filem Venom bertempat di Quill City Mall pada Isnin lalu.

Dalam perkembangan lain, Wani akan ke Indonesia pada Isnin depan untuk menyertai pertandingan Liga Dangdut Asia yang akan bermula tidak lama lagi.