Penyanyi dan bintang program Big Stage, Sissy Imann, 22, menjelaskan dia tidak pernah yakin untuk menerima sebarang tawaran lakonan sebelum ini.

Namun begitu, Sissy telah menyedari kebolehannya berlakon selepas menyertai uji bakat program Dewi Remaja baru-baru ini.

"Sebelum ini, saya rasa seperti tidak berbakat untuk berlakon sehingga menolak tawaran lakonan dari sesetengah pihak.

"Memang saya tak pernah yakin, tetapi saya sudah mula berani untuk berlakon selepas menyertai uji bakat program Dewi Remaja baru-baru ini.

"Lakonan saya dipuji ketika uji bakat tersebut, dari situ saya berasa lebih bermotivasi untuk mula menceburi bidang lakonan," jelasnya.

Sissy berkata demikian ketika ditemui di Gempak Movie Night Out tayangan filem Venom bertempat di Quill City Mall pada Isnin lalu.

Program Dewi Remaja dijangka bermula bersiaran pada bulan November ini dan masih mengekalkan Scha Alyahya sebagai pengacara.