Penyanyi, pelakon dan pengacara, Adibah Noor, 48, mengajak orang ramai untuk menyertainya dalam mengembalikan zaman menghantar surat kepada kenalan.

Perkara itu dikongsi menerusi status di akaun Twitter miliknya.

"Jom kembalikan keseronokan menulis dan menerima surat.

"Kalau anda semua nak surat yang ditulis sendiri oleh saya, sila hantarkan nama dan alamat menerusi 'DM' ke akaun Twitter saya," tulisnya.

Adibah meletakkan 'hashtag' #JomTulisSurat untuk kegiatan terbarunya itu.

Dalam pada itu, Adibah telah mula menghantar surat kepada peminat dan kenalannya mulai dua hari lepas.



"Saya telah mula mengirim surat, alamat yang paling jauh setakat ini adalah di Australia, kepada yang masih belum menerimanya, harap sabar menunggu," tulisnya.

Ekoran perkara tersebut, rata-rata netizen telah menyokong idea Adibah dan mula meminta maklumat dari kenalan mereka untuk mengirim surat.