Kumpulan Kristal akhirnya memilih bekas anggota kumpulan HyperAct, Kecik sebagai vokalis baharu mereka.

Jelas Rody, pemilihan Kecik dirasakan paling tepat memandangkan penyanyi itu mempunyai kualiti vokal yang mantap dan berupaya menyanyi pelbagai jenis lagu.

"Kecik punyai kriteria vokalis yang kami mahukan untuk Kristal dan mempunyai jiwa untuk menyanyikan lagu-lagu Kristal.

"Kami harap pemilihan Kecik akan memberikan nafas baharu untuk kumpulan kami," katanya kepada Gempak.

Sementara itu, kata Kecik atau nama sebenarnya Mohammad Fauzi Kamarudin, dia berharap peminat tidak membanding-bandingkannya dengan bekas vokalis Kristal terdahulu.

"Janganlah bandingkan saya dengan vokalis Kristal sebelum ini, berilah saya peluang untuk berkarya," katanya ketika majlis memperkenalkan vokalis Kristal baru di G Tower, Kuala Lumpur hari ini.

Pada acara sama, Kristal turut melancarkan single terbaharu berjudul Cintaku Kristal.

Bekas vokalis Kristal, Lan mengundurkan diri daripada kumpulan itu selepas berlaku krisis dalaman ketika menyertai Gegar Vaganza tahun lalu.