Penyanyi Hetty Sarlene akui suaminya, Daniel Oakes, 34, terkejut melihat persembahannya yang menyanyikan lagu dangdut berjudul Ah Rindu Lagi di Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Ahad lalu.

Hetty, 34, berkata meskipun suaminya tidak memahami konsep tersebut, namun tetap memberi pujian kepada pesembahannya itu.

“Selepas persembahan tu, suami kata terkejut lihat saya gelek begitu kerana dia tidak biasa dan tidak pernah tahu mengenai dangdut sebelum ini.

“Bila saya tunjuk video lagu dan tarian dangdut baru dia mula faham.

“Namun dia turut memberi pujian persembahan saya sangat hebat malam itu,” katanya kepada Gempak.

Hetty yang menyanyikan lagu yang dipopularkan oleh Amelina itu berada di kedudukan keempat menerusi penjurian minggu lalu.

Penyanyi berasal dari Singapura itu berkahwin dengan orang Inggeris, Daniel Oakes atau nama Islamnya, Dani Aaqil, 34, pada 23 Julai 2016.

Sementara itu, Hetty memberitahu dia terpaksa berjauhan dengan suaminya sepanjang GV5 ini kerana menetap di Malasia untuk memberi focus kepada persembahannya setiap minggu.

“Saya sudah tinggal disini sejak lebih sebulan lalu, cuma suami masih di Singapura kerana urusan kerjanya di sana.

“Namun dia akan ke Malaysia setiap minggu dan memberi semangat kepada saya di GV5,” katanya lagi.

Bersiaran selama lapan minggu, GV5 boleh disaksikan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.

Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.