Pelakon Fatiya Latiff mengaku memadam posting mengenai pertikaiannya terhadap kemenangan Wany Hasrita sebagai penerima Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) 31, Ahad lalu.

"Saya padam kenyataan di laman sosial itu kerana berfikiran saya perlu menghormati peminat-peminat Wany.

"Selain itu, saya tak nak foto di Instagram saya kurang cantik dengan adanya posting tersebut.

"Tapi walaupun saya dah padam, saya tetap dengan pendirian yang Wany memang tidak layak untuk memenangi anugerah tersebut," ujarnya.

[[BACA: Fatiya Latiff Tak Puas Hati Wany Hasrita Menang ABPBH 31? Netizen Menyampah!]]

Bagaimanapun kata pelakon berusia 31 tahun itu, dia tidak mempunyai masalah dengan Wany cuma baginya, penyanyi lagu Menahan Rindu itu masih belum layak untuk memenangi anugerah tersebut.

“Ramai lagi selebriti yang sudah lama berada dalam industri dan mereka lebih popular berbanding Wany.

"Saya berhak untuk bersuara dan berhak untuk memberi pandangan mengenai kemenangan Wany sebagai Bintang Paling Popular.

"Sejujurnya, saya tidak ada masalah atau bergaduh dengan dia pun. Cuma, dia belum lagi layak untuk menang dan saya tidak berpuas hati dengan sistem keputusan pada malam itu,” katanya.

Pada malam kemuncak ABPBH31 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu, Wany turut membawa pulang trofi kategori Penyanyi Wanita Popular.

Sumber: mStar Online
Foto: Instagram @fatiyalatiff