Mungkin ramai dalam kalangan kita tidak tahu masalah kesihatan mental boleh bermula seawal usia 14 tahun sepertimana dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan banyak kes tidak dapat dikesan mahupun dirawat.

Masalah mental yang sering dianggap ramai sebagai tidak siuman atau kurang waras dipercayai boleh berlaku pada sesiapa saja tanpa mengikut usia dan jantina.

Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2015 sebelum ini turut mendedahkan Sabah sebagai negeri yang mempunyai populasi masalah kesihatan mental tertinggi di negara ini.

Begitu juga, Kuala Lumpur dan Kelantan berada dalam kedudukan tiga teratas dan lebih mengejutkan apabila orang bujang lebih ramai mengalami masalah mental.

Merujuk sumber Public Health Malaysia, golongan wanita mendominasi terhadap penyakit ini iaitu sebanyak 30.8 peratus manakala 27.6 peratus dihidapi lelaki.

Data yang sama turut merungkai jumlah penduduk di Malaysia yang mempunyai masalah kesihatan mental adalah 4.2 juta atau 29.2 peratus.
Difahamkan, masalah kesihatan mental boleh berlaku akibat faktor sosial, biologi dan psikologi. WHO juga menyatakan faktor peperangan dan bencana menjadi risiko utama menyumbang pada masalah mental.

Maklumat tersebut dikongsi Dr Afiq Rahim menerusi akaun Twitternya, @affick_rahim, hari ini.

Bagi mengatasi penyakit ini, beberapa tanda masalah kesihatan mental sebenarnya sudah dikenal pasti antaranya bersikap mudah marah, letih, keresahan yang teruk, kerisauan yang berlebihan, perubahan selera makan dan tingkah laku agresif.

Apa yang lebih berbahaya adalah jika individu itu cenderung memikir atau bercakap tentang bunuh diri mahupun terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan alkohol.

Jangan ambil mudah jika individu itu juga mempunyai masalah tidur sama ada sukar untuk tidur atau mudah tertidur boleh menjadi tanda masalah kesihatan mental.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: www.newscientist.com (Susanne Borges/Corbis)