Pelakon dan penyanyi Alif Satar mengambil keputusan untuk bercuti bersama isterinya, Shadila Halid setelah sibuk bekerja tanpa henti selama lapan bulan sejak akhir-akhir ini.

Menurut Alif untuk percutian kali dia tidak membawa anak-anaknya kerana ingin meluangkan masa sepenuhnya bersama isterinya.

"Saya dan isteri akan terbang ke Iceland untuk bercuti selama 10 hari bagi menenangkan fikiran daripada memikirkan soal kerja.

"Untuk percutian kali ini saya tidak membawa anak-anak kerana sebelum ini kami sudah membawa mereka bercuti di Thailand.

"Ini adalah untuk mengambil semula hati isteri yang sering menjaga anak ketika saya sibuk dengan tugasan kerja sebelum ini.

"Ini adalah percutian untuk kami meluangkan masa berdua dan berehat seketika daripada kesibukan kerja," katanya kepada Gempak.

Alif berkata demikian ketika ditemui pada majlis Anugerah Bintang Popular BH ke-31 (ABPBH 31), di PICC Putrajaya, baru-baru ini.

Alif menerima anugerah Artis Versatil Paling Popular di Anugerah Bintang Popular BH 31 (ABPBH31).