MIG Pictures antara produksi yang dikenali ramai penonton terhadap pelbagai produk filem mereka yang diterbitkan pada setiap tahun sehingga kebelakangan ini timbul persoalan mengapa mereka tidak lagi aktif terbit filem baru atau produser, David Teo sudah merajuk?

Merungkai persoalan itu, David yang ditemui secara eksklusif di pejabatnya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini mengakui mereka tidak menerbitkan sebarang filem pada tahun ini.

Bagaimanapun, bagi penonton yang merindui filem MIG Pictures jangan bimbang kerana David membawa berita baik akan kembali aktif menerbitkan banyak filem pada tahun depan.

"Projek filem baru akan bermula pada penghujung tahun ini seperti sekuel Jangan Pandang Belakang 2, Congkak 2, Jangan Pandang Belakang Congkak 2 dan Adnan Sempit," katanya.

Ujarnya, kali ini dia juga akan memberi fokus pada penerbitan filem pelbagai genre seperti komedi seram dan komedi aksi.

"Saya percaya filem apa yang berjaya ketika ini adalah kebanyakan filem yang sudah ditayangkan dulu seperti Hantu Kak Limah dan Munafik yang pernah meraih kutipan pecah panggung dahulu," katanya.

Akuinya, filem sekuel tersebut sudah mempunyai formula penjenamaan yang kuat dibandingkan filem baru lain yang ingin diperkenalkan kepada khalayak.

"Penjenamaan kena ada, tak boleh buat satu branding baru seperti Langsuir.

"Kita perlu tengok trend apa yang penonton suka tapi saya bukan nak buat 1 atau 2 filem setahun sebaliknya lebih banyak," katanya.

David berpandangan jika produser filem hanya menerbitkan sebuah filem setahun, ia bukan membantu industri.

"Sekurangnya saya nak buat 6 filem baru dan selepas itu jika sambutan bagus, kami akan pergi kepada 12 judul setahun.

"Industri perfileman bukan untuk buat sebuah filem yang disertai seorang pengarah, seorang hero dan seorang heroin sahaja.

"Ketika ini, industri perfileman mempunyai terlampau banyak pekerja termasuk graduan yang mencari pekerjaan. Adanya filem baru seperti ini, ia membantu mereka untuk bekerja," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi