Penyanyi Noryn Aziz akui sedikit beremosi ketika menyampaikan lagu Trauma di Konsert Gegar Vaganza musim kelima (GV5) malam tadi.

Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abdul Aziz, 41, berkata lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Elite itu ada mempunyai persamaan dengan kisah peribadinya.

“Bila baca lirik Trauma itu, saya boleh katakan lebih separuh kisahnya mengenai diri saya.
“Lagu ini memang benar-benar menyentuh hati saya.

“Secara jujurnya, saya pun tidak sedar apa yang berlaku ketika persembahan kerana selepas ia tamat saya seperti tak ingat apa yang saya buat,” katanya kepada Gempak.

Bertemakan ‘Dalam Diam Ku Mencintaimu’, Noryn berjaya mengungguli konsert kedua GV5 apabila menewaskan Amelina.

Bagaimanapun, Noryn meminta agar tidak bertanya lanjut mengenai kisah rumah tangganya demi memberi tumpuan pada GV5.

“Seperti yang saya cakap sebelum ini, bukan masa untuk saya bercakap mengenai peribadi saya.

“Biarlah kerjaya nyanyian saya menjadi tumpuan sekarang ini. Lagipun saya benar-benar ingin fokus GV5,” katanya lagi.

Noryn dan suami, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad memfailkan penceraian sejak tahun lalu.

Noryn dan suami bernikah pada 22 Januari 2010 dan mereka dikurniakan seorang anak Raja Bariq Umar Shah yang berusia 4 tahun.

GV5 bersiaran secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.