Pernah berdepan situasi di mana lagunya tidak mendapat sambutan dalam kalangan pendengar akibat tidak dimainkan di stesen radio, Arja Lee masih tidak putus asa untuk terus berjuang sebagai penyanyi.

Ujarnya, dia melalui pengalaman yang sukar ketika mahu mempromosikan tiga lagu yang pernah dihasilkannya sebelum ini.

"Dulu saya pernah dua kali mencuba nasib dalam program Akademi Fantasia tapi saya masih bersemangat untuk jadi penyanyi sehingga menghasilkan tiga single," katanya kepada Astro Gempak.

Bagaimanapun, Arja mengakui ia bukan mudah untuk mempromosikan sesebuah lagu baru itu dimainkan di stesen radio sehingga diminati pendengar.

"Lagu saya seperti Cerita Pada Mereka dan Bintang Malam memang 'tak jalan'. Memang apabila tiada Pegawai Pehubungan Awam (PRO), susah untuk saya 'push' lagu tersebut ke stesen radio apatah lagi syarikat rakaman sedia ada lebih mempromosikan artis residen mereka sendiri," katanya.

Akuinya, dia pernah bersembang dengan salah seorang komposer yang memberitahu wujud situasi di mana penyanyi perlu membeli 'viewer' atau penonton di YouTube untuk menaikkan ratings.

"Dia mengatakan untuk memastikan 'viewer' sekurang-kurangnya mencecah 1 juta, penyanyi itu boleh membeli 'viewer' tersebut.

"Ada juga dakwaan kononnya lagu itu perlu mencecah 1 juta 'viewer' untuk dimainkan di stesen radio. Ada juga terpaksa membayar lebih RM2,000 semata-mata membeli 500,000 'viewer'," katanya.

Meskipun wujud 'permainan kotor' dalam industri muzik tempatan, Arja membuat keputusan lebih baik menggunakan wang sendiri dengan cara lain daripada bertindak membeli 'viewer'.

"Saya kini sedang membuat single terbaru yang keempat dan saya tidak mahu putus asa untuk buat lagu baru walaupun kecewa dengan industri kita sendiri.

"Buat masa ini, saya masih menerima undangan menyanyi untuk persembahan makan malam dan berlakon.

"Bagi saya, menyanyi penting buat seorang pelakon jika dia mahu terbabit dalam pementasan teater muzikal yang memerlukan pelakon itu menyanyi," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @arjalee