Pelakon dan penyanyi Janna Nick menafikan tuduhan ramai pihak yang menganggap sengaja menubuhkan Wish For Their Hope (WFTH) untuk menutup kontroversi video ucapan #WishServiceByJannaNick.

Menurut Janna, dia menjelaskan bahawa pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah dirancang daripada awal dan bukannya dilakukan selepas video yang dilakukannya itu tular.

"Kalau saya nak tutup mulut orang lebih baik saya tidak tubuhkan NGO.

"Saya boleh saja buat satu majlis amal dan uar-uarkan perkara ini bahawa saya sudah menyumbang duit yang saya dapat itu.

"Bukan mudah sebenarnya nak tubuhkan NGO kerana saya harus lalui pelbagai proses jadi perkara itu mengambil masa yang lama.

"Saya tidak boleh kaya pun dengan duit itu, tapi ia sedikit sebanyak dapat membantu insan yang memerlukan dan ia penting bagi mereka," katanya kepada Gempak.

Janna berkata demikian ketika ditemui pada majlis pemberian sumbangan dan dana bagi tabung WFTH di Rumah Kasih Nurul Hasanah, di Ampang baru-baru ini.

Sebelum ini, Janna terus diserang netizen selepas kecoh isu dia mengenakan RM50 bagi rakaman ucapan ulang tahun kelahiran mana-mana individu yang berhajat menggunakan khidmatnya.

Malah, posting terbaharu yang dimuat naik aktres tersebut di laman Instagram turut dihujani dengan komen yang kurang senang dengan cara perniagaan itu.