Isteri Ameng yang juga vokalis kumpulan Spring, Sabariah Zakariah mengesahkan suaminya dibebaskan dari penjara hari ini.

Sabariah ketika dihubungi Astro Gempak berkata, dia bersyukur suaminya dibebaskan selepas lima tahun menjalani hukuman di penjara.

"Alhamdulillah, syukur. Insha-Allah suami saya dibebaskan, doakanlah agar semuanya dipermudahkan.

"Pembebasan bergantung jika tiada apa-apa perintah yang menghalang keputusan tersebut oleh mahkamah atau pihak berkuasa," katanya.

Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 47, dijatuhi jukuman penjara lapan tahun dan dikenalan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 21 April 2011 kerana kesalahan dadah.

Bagaimanapun mStar Online melaporkan, penyanyi tersebut yang ditahan di penjara Kluang bakal dibebaskan pada hari ini kerana berkelakuan baik.

Sementara itu, Sabariah memaklumkan akan ke Kluang untuk menjemput suaminya pulang ke rumah bersama.

"Insha-Allah saya akan ke Kluang esok (hari ini) untuk bawa dia pulang," ujarnya.

Terdahulu dalam laporan mStar online juga ada menyebut hukuman penjara Ameng dipendekkan kerana disiplin dan contoh terbaik ditunjukkan Ameng semasa menjalani pemulihan.