Penyanyi Black Hanifah, 30, mengakui bakal merakamkan momen indah saat bayi keduanya dilahirkan kelak.

Namun Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah berkata, dia tidak akan berkongsi rakaman tersebut di mana-mana platform laman sosial kerana ia hanya untuk simpanan peribadi.

“Tak tahu lagi bagaimana keadaannya nanti. Mungkin saya akan rakam momen itu nanti tetapi ia hanya untuk simpanan peribadi, bukan untuk dipertonton umum.

“Biasanya seperti anak pertama saya sebelum ini, saya lebih suka melihat proses itu secara live daripada merakamnya tapi tak tahu bagaimana nanti,” katanya kepada Gempak.

Isteri Black, Cira Khairi dijangka bakal melahirkan bayi kedua mereka pada 6 November depan.

Black memberitahu Cira yang sedang sarat hamil lapan bulan dinasihatkan berehat di rumah.

“Sekarang ni Cira tengah sarat dan memandangkan dia sangat fragile dan tidak mahu perkara yang lalu (keguguran) berulang lagi, jadi doktor nasihatkan supaya berehat di rumah.

“Kami pun teruja untuk menyambut kelahiran bayi perempuan, harap dia dapat dilahirkan dengan selamat dan sihat,” katanya lagi.

Black, isteri dan anak Khaleef Dayyan, 3, bakal muncul dalam program realiti Oh My Family! Musim kedua.

Selain keluarga Black, ia turut menampilkan Nabil Ahmada dan keluarga; pasangan Shuib dan Siti Sarah bersama anak mereka Uwais Alqarni dan Dzahira Talita: keluarga Sharifah Shahira dan anaknya Airra dan Audrra serta penampilan istimewa pasangan selebriti Indonesia Ussy Sulistiawaty dan Andhika Pratama bersama anaknya Saherla Eleanor Amerra.

Oh My Family yang mempunyai lapan episod ini bakal mula bersiaran pada 10 Oktober ini di Astro Ria (saluran 104), Ria HD (saluran 123) dan Astro Ceria (saluran 611) pada setiap Rabu jam 9 malam.