Penyanyi Ewal mengakui karier seninya kurang menerima publisiti selepas program Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) berakhir.

Bagaimanapun Ewal atau nama sebenarnya Ikhwal Hafiz Ismail, 24, berkata, dia mempunyai perancangan dan strategi tersendiri untuk mengelakkan popularitinya merudum.

“Saya selalu juga buat cover lagu dan muat naik di laman YouTube dan Instagram untuk sama-sama berkongsi aktiviti terbaru dengan para peminat. Sekurang-kurangnya mereka boleh ikut perkembangan terbaru dan tidak lupa terus nama saya,” kata Ewal kepada Astro Gempak.

Ewal ditemui ketika majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim anjuran Muslim Volunteer Malaysia dengan kerjasama portal Astro Gempak di Restoran Al-Rawsha, Shah Alam, Selangor.

Menurut Ewal, dia juga tidak tergugat sekiranya ada di kalangan peminat yang menyangkakan karier seninya berakhir.

“Sebenarnya saya tidak terlalu risau sebab saya dan peminat sentiasa berkomunikasi setiap hari. Malah saya ambil inisiatif buka komunitiWhatsApp di kalangan peminat untuk memudahkan kami menghubungi antara satu sama lain.

“Setakat ini saya mempunyai empat grup WhatsApp yang mencecah hampir empat ratus peminat di dalamnya. Ini juga antara strategi supaya peminat tidak terlepas mengikuti perkembangan nyanyian saya,” katanya.

Tambah Ewal lagi, dia turut membuat kemaskini tentang aktiviti harian yang dilakukan.

“Saya sangat aktif di aplikasi WhatsApp dan sentiasa berkongsi apa sahaja perkara yang saya lakukan termasuklah aktiviti memasak,membeli belah atau bercuti.

“Peminat juga banyak tolong untuk sama-sama promosikan single terbaru saya di akaun Twitter dan Instagram mereka. Saya sangat gembira kerana media sosial sebenarnya banyak membantu perjalanan karier saya,” ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Ewal bakal muncul dengan single terbarunya yang berjudul Sama Kamu yang baru sahaja dilancarkan.

Sama Kamu ditulis oleh DJ Fuzz yang berentak rancak ala-ala Salsa dan Dangdut. Kami akan mula aktif mempromosikan lagu tersebut selepas Hari Raya Aidilfitri kerana ingin menghormati bulan Ramadan.

Single ketiga saya kali ini sangat berbeza dengan sebelumnya yang berentak Balada dan Pop. Saya teruja kerana berpeluang untuk mencuba sesuatu yang baru,” katanya.