Azza Elite Tak Kecil Hati Mimik Muka Jadi Usikan Netizen, Diparodikan

Hiburan
Azza Elite Tak Kecil Hati Mimik Muka Jadi Usikan Netizen, Diparodikan
Anggota kumpulan Elite yang juga bintang Gegarvaganza (GV) 5, Azza, tidak marah atau berkecil hati apabila mimik mukanya ketika membuat persembahan di pentas GV minggu lalu menjadi bahan usikan netizen.

Kata Azza lagi, dia juga tidak terasa seperti dihina atau dipersenda walaupun mimik mukanya turut diparodikan oleh Jihan Muse dalam program MeleTop.

“Saya pun macam Ziana Zain juga!” seloroh Azza ketika dihubungi Astro Gempak pada petang Rabu.



Azza berkata, dia sedikit pun tidak marah terhadap netizen atau Jihan Muse, sebaliknya berasakan perkara tersebut lucu.

“Untuk apa saya marah atau kecil hati…Sekurang-kurangnya orang sedar kewujudan saya di situ (pentas GV).

“Saya mengaku mimik muka sedikit ‘over’ kerana saya terlalu nak jaga ‘note’ suara dan dalam masa sama gementar ketika membuat persembahan.

“Biarlah apa orang nak kata, asalkan tidak melampaui batas saya ‘okay’ sahaja,” katanya.

Tambah Azza lagi, dia tidak menjadikan kata-kata netizen sebagai pematah semangat sebaliknya akan terus memberikan yang terbaik di pentas GV.

“Minggu ini Elite akan menyanyikan lagu dangdut dan berharap akan mengadakan persembahan yang terbaik buat peminat-peminat kami,” ujarnya.

Minggu pertama GV 5, Elite berada di tempat terakhir selepas berentap dengan 11 bintang lain iaitu Amelina, Zamani Shafie (Rio), Maya Ruslee, Dia Fadila, Forteen, Hetty Sarlene, Farawahida, Safura, Noryn Aziz dan Billy Zulkarnain.

GV5 bersiaran selama lapan minggu dan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad, 9 malam.
 
 

Artikel Berkaitan