Pelakon Rozita Che Wan, mengakui anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana sudah mula menunjukkan minat untuk bergelar seorang anak seni.

Menurut Rozita Che Wan atau Che Ta mengakui dia tidak pernah menghalang minat anaknya itu sebaliknya sentiasa mendorong Aaisyah mengejar cita-citanya itu.

"Sejak dulu lagi Aaisyah memang suka menyanyi dan berlakon ketika duduk seorang diri di hadapan cermin.

"Dia memang suka berangan jadi pelakon dan akan lakonkan semua apa yang ditonton di televisyen.

"Tapi Zain seboleh-bolehnya tidak mahu Aaisyah jadi artis dan kerap terdedah dengan dunia hiburan.

"Ini kerana bagi Zain dia tidak mahu anak ponteng sekolah dan mahu dia membesar sama seperti kanak-kanak lain yang mempunyai kebebasan," katanya kepada Gempak.

Che Ta berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama Lelaki Kiriman Tuhan, di Ombak Villa, Langkawi, baru-baru ini.

Selain Che Ta, drama bersiri Lelaki Kiriman Tuhan turut dibintangi oleh Mira Filzah, Harris Anuar, Remy Ishak, Faez Nik, Kartina Aziz, PU Azman, PU Riz, Jasmin Hamid, Maria Farida dan ramai lagi.

Turut diperkenalkan bintang baru Uyaina Arshad iaitu bekas pengacara Nona, Riana AF, Ali Redza, Hanis Nabeela dan Farah Safwan.

Drama Lelaki Kiriman Tuhan ini akan disiarkan setiap hari Isnin pada pukul 9 malam menerusi saluran Astro Oasis (saluran 106) & Maya HD (saluran 135).