Lagu Rampas nyanyian Akim Ahmad bersama bandnya, Akim & The Magistret rupanya memberi makna mendalam buat salah seorang peminatnya yang berdepan dengan situasi yang hampir meragut nyawanya.

Peminat yang dikenali sebagai Muhamad Izzudenshah menceritakan pengalamannya melalui insiden kebakaran di rumahnya yang menyebabkan banyak barang musnah.

“Rumah yang aku sewa di Kajang hangus dibakar. Barang-barang aku semua habis dijilat api. Nyawa aku hampir-hampir dirampas,” katanya menerusi Twitter, @podinshahz.Ujarnya, lagu terbaru Akim itu juga membuatkan dia merasai makna di sebalik lirik lagu itu apabila dikaitkan dengan insiden yang berlaku ke atas dirinya sekeluarga.

“Aku sekarang setiap pagi mesti dengar lagu baru @AkimAhmad sebab aku memang minat gila dengan lagu-lagu dia terutamanya rampas.

“Selalu aku dengar lagu itu aku bayangkan macam mana keadaan aku kalau sesuatu dalam hidup aku dirampas dan semalam nyawa aku hampir-hampir dirampas oleh Allah tapi Dia masih beri peluang pada aku,” katanya.

Tambahnya, dia terjaga daripada tidur selepas dikejutkan isteri ketika insiden tersebut berlaku.

“Dan hari ini aku betul-betul 'feel' lagu rampas dan aku menangis. Semua yang Allah bagi pada kita dengan sekelip mata Dia bole merampas semula. Alhamduliah aku dan isteri selamat. Syukur nyawa masih ada," katanya.

Kumpulan itu turut bersimpati dengan peminat itu sambil memberi kata-kata sokongan pada mangsa agar kuatkan semangat untuk meneruskan kehidupan.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Twitter @podinshahz