Penyanyi dan pelakon Safura Yaacob mengambil keputusan untuk berhenti berniaga kerana mahu memberikan fokus sepenuhnya terhadap bidang nyanyian.

Menurut Safura, keputusan itu dilakukan bersama suaminya, Shahronizam Noor kerana mahu bersungguh-sungguh melakukan persediaan bagi program Gegar Vaganza 5 (GV5).

"Sejujurnya, saya mengambil keputusan untuk masuk GV5 ini kerana saya rindu dengan peminat.

"Alhamdulillah, suami memberi izin untuk saya menyertai GV5... Katanya, kalau dah masuk bertanding ni kena fokus betul-betul.

"Suami juga selalu memberi galakkan untuk saya melakukan senaman dan mengambil supliment untuk menjaga kesihatan.

"Jadi buat masa sekarang, kami berhenti seketika daripada menjalankan perniagaan kedai makan dan memberi fokus pada GV5 terlebih dahulu," katanya kepada HLive.

Selain Safura, GV5 turut dibarisi 11 peserta lain seperti kumpulan Forteen, pasangan duo Billy Zulkarnain, Elite, Zamani, Amelina, Maya Ruslee, Noryn Aziz, Farawahida, Hetty Sarlene, Dia Fadilla dan Shafie Rio

Bersiaran selama lapan minggu, GV5 boleh disaksikan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.

Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).