Pelakon Mawar Rashid menjelaskan sudah mengetahui tujuan asal rakan pelakonnya, Janna Nick untuk melakukan perkhidmatan ucapan berbayar di Instagram.

Menurut Mawar, perkara itu dilakukan adalah untuk menyokong Janna dan bukannya untuk mengambil kesempatan seperti yang diperkatakan oleh netizen di media sosial.

"Saya sangat gembira kerana kawan sendiri yang lakukan perkara ini, jadi tidak salah untuk saya menyokong apa yang dilakukan oleh dia.

"Sejujurnya apa yang ingin dilakukan ini sudah dirancang daripada awal dan saya lakukan ini bukan untuk ambil kesempatan seperti yang didakwa oleh ramai pihak.

"Bagi saya apa yang dilakukan ini adalah sangat kretif kerana orang akan dapat menyumbang dan dalam masa yang sama mendapat video ucapan daripada kami.

"Kalau bukan kerana untuk sumbangan ini saya tidak akan lakukannya dan saya juga maafkan orang yang mempunyai andaian buruk pada saya," katanya kepada Gempak.

Mawar berkata demikian ketika ditemui pada majlis pemberian sumbangan dan dana bagi tabung WFTH di Rumah Kasih Nurul Hasanah, di Ampang pada Rabu.

Pada majlis tersebut, Janna Nick juga tampil menjelaskan bahawa duit hasil kutipan yang dilakukan itu adalah bagi mengumpul dana tabung Wish For Their Hope (WFTH).