Pelakon terkenal, Nabila Huda mengakui tidak sabar untuk menyaksikan lakonannya dalam filem televisyen terbaru berjudul 'Folklore: Toyol'.

Menurut Nabila, dia teruja kerana dapat membintangi karya yang bakal ditayangkan di seluruh Asia menerusi saluran HBO.

"Apabila saya mendapat tawaran untuk menjayakan karya terbabit, saya tak berfikir panjang. Bayangkan, hasil lakonan saya dapat ditonton seluruh Asia.

"Sebelum ini, kita hanya menyaksikan drama atau filem barat bertaraf antarabangsa yang disiarkan di sana. Sejujurnya, saya sudah tak sabar nak tengok wajah sendiri di saluran HBO," katanya sembil berseloroh.

Nabila ditemui ketika majlis Pelancaran HBO Originals Folklore di The St Regis Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam 'Folklore: Toyol', Nabila menjayakan karakter seorang wanita misteri yang mengamalkan ilmu hitam dalam kegiatan hariannya.

"Karya ini sangat bagus kerana ia diarahkan oleh pengarah berbakat, Ho Yuhang. Disamping itu, saya juga bergandingan dengan pelakon berbakat lain seperti Bront Palarae, Redza Minhat, Datin Seri Umie Aida dan ramai lagi," katanya.

'Folklore: Toyol' bakal ditayangkan pada Ahad, 4 November, jam 10 malam secara eksklusif di saluran HBO (411) dan HBO HD (431).

Folklore merupakan siri antologi seram terbitan asal pertama HBO Asia. Ia merupakan sebuah siri enam episod yang menampilkan kisah-kisah dari Indonesia, Singapura, Jepun, Thailand, Korea dan Malaysia.

Folklore ditayangkan setiap Ahad, jam 10 malam secara eksklusif di saluran HBO (411) dan HBO HD (431) bermula 7 Oktober ini.

Untuk informasi lanjut mengenai siri Folklore, layari laman web http://hboasia.com/HBO/en-sg/shows/folklore