Pelakon cantik, Jasmine Suraya Chin menanam impian untuk membawakan watak berbeza dalam karya yang bakal dijayakan selepas ini.

Gadis berbangsa Cina ini mahu menjayakan watak yang menuntut dirinya untuk melakukan banyak babak aksi serta lasak.

"Sering membawa watak yang lebih kurang sama dalam lakonan, saya menyimpan harapan untuk menjayakan watak aksi serta lasak.

"Saya mahu menyahut cabaran itu dan saya rasa bersemangat... Lebih-lebih lagi apabila melihat filem aksi seperti PASKAL The Movie berjaya menambat hati peminat," kata Jasmine.

Turut menjayakan filem terbabit, Jasmine berterima kasih kepada penonton yang memberikan sokongan dan respon positif terhadap karya arahan Adrian Teh itu.

"Sejujurnya, saya sangat bersyukur apabila filem PASKAL The Movie mendapat perhatian ramai pihak. Apa yang saya harapkan ialah lebih ramai lagi penonton yang turun ke panggung wayang dan menyokong filem ini kerana ia sangat berkualiti," katanya.

Filem PASKAL The Movie diterbitkan oleh Asian Tropical Films, GSC, Multimedia Entertainment, Granatum Ventures dan Astro Shaw.

Karya ini berkisarkan mengenai kisah kejayaan anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan misi merampas kapal dagang daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Diinspirasikan dari kisah benar, filem ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Theeban G, Henley Hii, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.

Jom, dapatkan tiket anda sekarang dan sama-sama saksikan pertempuran PASKAL The Movie di medan pawagam!