Bintang Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Mya Ruslee mendedahkan dia diminta untuk menukar persalinan untuk konsert pertama Ahad lalu pada saat-saat akhir.

Jelas Mya, oleh kerana gaun yang dipakai terlalu ketat, itu menjadi punca pergerakannya terbatas di pentas.

"Pergerakan saya terbatas ketika membuat persembahan sebab diminta menukarkan gaun ini pada saat akhir.

"Sepatutnya saya memakai seluar tetapi oleh kerana tidak berapa sesuai, pihak produksi menukarkan busana agar untuk visual terbaik.

"Tambah pula konsert pertama.

"Jadi, disebabkan kain ini agak ketat saya sukar menari sepanjang lagu Matahari," katanya kepada Gempak.

Namun, Mya tidak terkesan dengan busana yang diperagakan pada malam itu memandangkan juri lebih mementingkan penyampaian dan kualiti vokal.

"Tok Ram (Datuk Ramli MS) utamakan vokal sebab GV5 tak sama dengan Big Stage.

"Sebagai artis senior yang bertanding, juri meletakkan semua peserta GV5 pada par lebih tinggi.

"Mereka lebih pentingkan tempo, pitching dan interaksi penyanyi dengan muzik," tambahnya.

Mya menduduki tangga keempat pada konsert pertama GV5 selepas Amelina, Zamani dan Shafie (Rio).

Selain itu, Mya turut bersaing dengan bintang lain antaranya Dia Fadila, Forteen, Hetty Sarlene, Farawahida, Safura, Noryn Aziz, Billy Zulkarnain dan Elite.

GV5 bersiaran selama lapan minggu dan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad, 9 malam.