Pelakon Remy Ishak mengakui masih dalam proses mengenali tunangnya, Roszaliza Yusof walaupun sudah dua tahun mengikat tali pertunangan.

Menurut Remy, dia sudah mempunyai rancangan untuk berkahwin namun masih menunggu tarikh yang sesuai untuk melangsungkan majlis tersebut.

“Memang ramai juga yang menanyakan bila saya akan melangsungkan majlis tersebut kerana bulan April tahun depan genap dua tahun kami bertunang.

“Kalau boleh memang nak kawen dah namun sebagai manusia kita hanya mampu merancang dan segalanya sudah ditentukan.

“Buat masa sekarang saya perlu beri keutamaan kepada keadaan kesihatan ibu yang perlu menjalani pembedahan jantung dan buang tonsil.

“Saya harus sediakan sejumlah wang yang banyak untuk menanggung kos rawatan tersebut dan saya mahu beri keutamaan pada keluarga serta kerjaya dahulu buat masa sekarang ini,” katanya kepada Gempak.

Remy berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama Lelaki Kiriman Tuhan, di Ombak Villa, Langkawi, pada Rabu.

Selain Remy, drama Lelaki Kiriman Tuhan turut dibintangi oleh Mira Filzah, Rozita Che Wan, Kartina Aziz, PU Azman, PU Riz, Jasmin Hamid, Maria Farida dan ramai lagi.

Turut diperkenalkan bintang baru Uyaina Arshad iaitu bekas pengacara Nona, Ariana AF, Ali Redza, Hanis Nabeela dan Farah Safwan.

Drama Lelaki Kiriman Tuhan ini akan disiarkan setiap hari Isnin pada pukul 9 malam menerusi saluran Astro Oasis (saluran 106) & Maya HD (saluran 135).