Nama pengarah filem terkenal, Mamat Khalid cukup gah dikenali ramai dalam industri hiburan tempatan sehingga dia juga menjadi tumpuan ramai dalam satu program di sebuah sekolah baru-baru ini.

Apa yang menarik perhatian, kehadiran pengarah filem sekuel, Hantu Kak Limah itu dijemput untuk merasmikan satu program di Sekolah Menengah SIS Gopeng, Perak.

Merujuk pada status bersama gambar dan videonya yang dimuat naik menerusi media sosial menunjukkan Mamat yang segak berkot biru gelap dengan topi diberi kesempatan untuk membuat ucapan di atas pentas.

Mamat kelihatan seperti Yang Berhormat atau 'YB' yang lazimnya dijemput untuk merasmikan sesebuah acara.



Mungkin tindakan Mamat merasmikan satu program di sekolah dianggap pelik tapi gimik ketika majlis pelancaran program itu membuatkan ramai hadirin terhibur.

Apa yang berlaku, ketika Mamat diminta untuk menurunkan tanda tangan pada plak program tersebut, dia menunggu pen yang mahu diberikan pihak penganjur.

Situasi menjadi kelakar apabila muncul watak Hantu Kak Limah (HKL) yang menyampaikan pen tersebut pada Mamat.

Dalam status itu, Mamat memberitahu dia merasmikan Karnival Gegar sekolah tersebut bersama sahabat seperjuangan yang pernah bersamanya pada tahun 1982.

Mungkin atas faktor sahabat, Mamat sanggup untuk datang ke majlis tersebut dan nampaknya, penganjur pula buat kejutan HKL buat Mamat.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Facebook - Mamat Khalid