Penyanyi Ernie Zakri berbangga dengan prestasi yang ditampilkan oleh finalis rancangan realiti Big Stage.

Bertindak sebagai guru vokal, gadis itu gembira melihat perubahan positif setiap peserta dalam persembahan di konsert akhir Big Stage yang berlangsung malam tadi.

"Alhamdulillah, tugas saya sebagai guru vokal program ini sudah selesai. Saya gembira kerana mereka menampilkan perubahan positif dalam setiap persembahan.

"Finalis Big Stage ada lakukan banyak kesilapan semasa sesi latihan tetapi apa yang membuatkan saya bangga, mereka dapat menutupi kelemahan tersebut dan memberikan sepenuh tenaga terhadap persembahan akhir.

"Mereka sentiasa mahu belajar dan itu membuatkan saya senang hati. Semoga perjalanan kerjaya mereka selepas ini lebih menyerlah dan saya harap mereka tidak mahu berhenti belajar," kata Ernie.

Ketika ditanya adakah dia sudah menjangkakan keputusan malam ini, Ernie mempunyai jawapan tersendiri.

"Saya ada ramalan tersendiri, ada yang melekat, ada yang tidak. Namun begitu, sudah tertulis rezeki mereka dalam pertandingan ini.

"Apa-apapun, saya bangga dengan semua peserta kerana mereka sudah selesa dengan pentas dan berjaya menghiburkan penonton," katanya lagi.

Menewaskan empat peserta lain, Sarah Suhairi diumumkan sebagai juara dan berjaya merangkul wang tunai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Sarah membawakan lagu Awan Yang Terpilu di segmen cover serta lagu single baharu berjudul Nyawa dan Raga.

Seperti kebiasaan, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir berada di kerusi juri tetap manakala Mas Idayu dan Mark Adam menyertai mereka berdua sebagai juri jemputan.

Big Stage turut dimeriahkan dengan persembahan oleh penyanyi luar negara, Alec Benjamin.

Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad, Big Stage bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA.

Rancangan yang ditaja oleh Vivo dan ditrendkan oleh TikTok ini disiarkan secara langsung pada setiap Ahad, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123).

Big Stage turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan 'on demand'.

Layari laman web www.bigstage.com.my untuk segala informasi mengenai program ini.