Pelakon Zara Zya dan Janna Nick bersama pelawak Ajak Shiro bakal menggalas tugas untuk menjadi peneraju acara bagi Anugerah Bintang Popular BH 31 (ABPBH31).

Bersiaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 7 Oktober depan mulai jam 9 malam, ABPBH31 juga membariskan penyanyi baru dan lama untuk beraksi di pentas bagi mengisi slot persembahan.

Mereka yang bakal membuat persembahan ialah Syamel, Sufian Suhaimi, Ismail Izzani, Masya Masyitah, Kugiran Masdo, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Jeffrydin, Ramlah Ram, Amy Mastura, Misha Omar, Siti Sarah, Aizat Amdan, Hafiz Suip, Ernie Zakri dan Mimi Fly.

Selebriti terkenal seperti Fauziah Ahmad Daud, Erma Fatima, Fauziah Latiff, Datuk Hans Isaac, Fattah Amin, Nur Fazura, Fasha Sandha, Rita Rudaini, Sangeeta Krishnasamy, Abam, Mark Adam, Syafiq Kyle, Zahirah Macwilson, Hael Husaini dan Nabila Razali pula akan bertugas sebagai penyampai trofi.

Sementara itu, ABPBH 31 menampilkan kelainan dengan tidak mengumumkan senarai Top 5 untuk setiap kategori.

"Berbeza berbanding penganjuran tahun-tahun sebelumnya, ABPBH31 tidak mengumumkan senarai Top 5. Ia dilakukan untuk memberi ruang kepada peminat terus mengundi artis kesayangan mereka.

"Senarai akhir Top 5 hanya akan diketahui pada malam penganjuran nanti. Jumlah undian juga meningkat dengan sangat mendadak. Penganjur meraih 12.8 juta undian berbanding 1.5 juta undian sahaja yang diraih pada penganjuran lepas.

"Jumlah undian bakal meningkat sehingga undian ditutup pada 25 September nanti," kata Shamsul Azree Samshir selaku Pengarang Hiburan BH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH31.

Menerusi edisi penganjuran lalu, Fauziah Ahmad Daud, Faizal Ismail dan Zulin Aziz menggalas tugas sebagai pengacara dan Fattah Amin berjaya menggondol gelaran Bintang Paling Popular.