Ramadan kali ini memberikan sedikit kelaianan buat bekas penyampai radio popular, Fara Fauzana, 36, apabila dia mengambil inisiatif untuk melakukan aktiviti yang dipanggil masjid ‘hopping’.

Menurut Fara aktiviti jelajah itu dilakukan untuk merasai pengalaman berterawih di lokasi masjid yang berbeza sepanjang bulan Ramadan.

“Alhamdulillah tahun ini Ramadan saya ada buat aktiviti sendiri yang berkonsepkan masjid ‘hopping’ di mana saya akan melakukan solat Terawih di masjid atau surau yang berlainan.

“Saya buat begini sebab nak rasa sendiri pengalaman berbeza berterawih di tempat orang selain dpaat berkenalan dengan jemaah lain.

“Tak semestinya nak masjid atau surau yang besar, kadang-kadang saya pilih secara spontan saja.

“Yang paling jauh pernah pergi adalah di Seremban, kebetulan waktu itu saya ke rumah keluarga untuk berbuka puasa, jadi saya ambil kesempatan untuk solat di sana,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Jurassic World versi Bahasa Melayu yang diadakan Le Meridien Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Fara lagi, dia juga pernah bertanyakan kepada peminat mengenai lokasi dan juga pengalaman solat Terawih di kawasan berdekatan mereka.

“Saya pernah bertanyakan sekali di akaun Twitter dan minta pengikut saya kongsikan tempat Terawih kesukaan mereka.

“Tapi saya tidaklah beritahu lokasi yang dah pilih, sebab saya lebih selesa pegi diam-diam yelah sebab kita kan mahu beribadat.

“Ada satu pengalaman lucu yang saya ingat, sedang saya tolong mengemas masjid sebaik saja tamat solat, ada seorang makcik kata rupa saya seperti Fara Fauzana.

“Kemudian saya usik dia dan kata saya bukan Fara, bahagian muka mana yang sama makcik?,” ujarnya ketawa.

Dalam pada itu, Fara juga mengakui setiap tempat yang dikunjunginya telah mengajarnya untuk lebih bersyukur.

“Setiap tempat pengalamannya berbeza. Ada masjid yang mempunyai cukup kelengkapan dan sangat selesa.

“Tapi ada juga sesetengah tempat hanya mempunyai kemudahan yang terhad. Saya dah rasa semua situsasi.

“Tak semua orang berada dalam keadaan selesa tetapi mereka tetap juga ikhlas melakukan ibadat dan ini membuatkan saya belajar untuk lebih bersyukur,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Fara telah merancang untuk merasai pengalaman solat Terawih di luar Kuala Lumpur seperti Kelantan, Perak dan Singapura.