Penyanyi Datin Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 37, berkongsi cerita mengenai cara pemakanan hariannya.

Menurut Alyah, dia tidak mengawal ketat diet harian namun masih mengamalkan gaya hidup yang sihat.

"Kalau bab berdiet ni, saya tak pernah mengawal ketat makanan harian, saya akan makan saja apa yang diingini tetapi bukanlah dalam kuantiti yang berlebihan.

"Kalau di rumah, saya akui agak sukar untuk jaga pemakanan, Tok Ram (suami) suka masak, macam mana saya nak diet!" katanya sambil berseloroh.

Alyah ditemui di acara Jelajah Suria Dikecohkan Oleh Team Pagi Suria bertempat di Aeon Bukit Raja, Klang pada Sabtu lepas.

Dalam perkembangan lain, penyanyi ini sedang merancang untuk menghasilkan sebuah single yang menonjolkan kelainan berbanding konsep nyanyiannya sebelum ini, ia dijangka akan menemui peminat pada tahun hadapan.