Pelakon Ruhainies nafi bakal berkahwin dengan seorang ahli perniagaan tidak lama lagi seperti yang dilaporkan sebuah portal hiburan.

Pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 26, berkata dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk menamatkan zaman bujang.

"Saya rasa perlu untuk menjelaskan tentang tajuk dan cerita ini, saya tak pernah keluarkan apa-apa kenyataan mengatakan bakal berkahwin dan lain-lain.

"Harap pihak yang bertanggungjawab agar berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang berita tanpa menanyakan kesahihan mengenai perkara ini.

"Saya meminta maaf jika apa yang saya katakan ini mungkin melukakan hati anda, terima kasih," tulisnya.

Ruhainies menjelaskan perkara tersebut menerusi IG (Instagram) Story miliknya.

Sebelum ini, laporan sebuah akhbar pada Jumaat, Ruhainies mengakui sedang bercinta dengan usahawan yang kini menetap di London serta memiliki tiga cawangan butik terkenal di tanah air.

Bagaimanapun, mereka masih lagi dalam fasa perkenalan dan tidak mahu terburu-buru dalam soal perkahwinan.