Ia mungkin perkara pelik melihat rakyat negara ini bergaya dengan kain batik dan kain pelikat sambit menaiki kereta api menuju ke satu destinasi sama tapi sebenarnya meraikan hari istimewa iaitu Hari Malaysia.

Acara yang bermula jam 9.30 pagi semalam menyaksikan orang ramai pelbagai bangsa dan usia mengambil bahagian bersama-sama memeriahkan program Keretapi Sarong.

Menariknya, orang ramai berkumpul dari lima destinasi iaitu di stesen LRT di Gombak, Ampang, IOI Puchong Jaya, Subang Jaya dan stesen MRT, Bandar Utama sebelum bergerak menuju ke Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur.



Mereka terlebih dahulu singgah di hadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC) untuk berkumpul, bergambar dan menyanyi beberapa lagu patriotik demi menunjukkan rasa cinta pada negara.

Dua adik beradik iatu Adza Danial Haiqal, 20, dan Adza Danina, 17, bukan saja teruja meraikan Hari Malaysia tapi lebih istimewa tarikh bersejarah itu juga merupakan ulangtahun hari lahir mereka.



Bagi Adza Danial yang juga pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), meraikan hari jadi pada tarikh istimewa buat rakyat Malaysia adalah suatu pengalaman yang menyeronokkan.

Dua beradik itu turut ditemani ibu mereka, Adza Irdawati dan dua anaknya yang lain hadir untuk memberi sokongan pada acara yang dianjurkan Locco.



Adza Irdawati yang hadir bersama-sama rakannya dari Malaysian Backpackers Club berpandangan acara sedemikian suatu yang memberi tarikan pada semua rakyat Malaysia khususnya golongan muda untuk mengenakan kain batik atau kain pelekat.

“Acara ini sangat bagus kerana masih ada sebenarnya golongan muda yang mungkin tidak tahu cara pakai kain batik yang menjadi satu identiti pada Malaysia,” katanya.



Pelajar Diploma Pengiklanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Siti Zulaikkha Sheik Ali berpandangan acara tersebut memberikan pengalaman menarik apabila semua rakyat Malaysia termasuk pelancong asing berkumpul bersama.

“Memang seronok apabila kami semua dalam keretapi dari Subang Jaya beramai-ramai mengenakan kain batik dan kain pelekat selepas itu turut menyanyikan lagu Negaraku, Rasa Sayang dan Gemilang,” katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak