“Semoga syurga tempat mu sahabat, tunggu ana nanti Miril”, demikian tulisan PU Amin selepas mendapat khabar duka mengenai pemergian Imam Muda Miril, petang semalam.

Menerusi perkongsian di Facebook, PU Amin memberitahu, mendapat berita tentang Imam Muda Miril meninggal dunia ketika dalam perjalanan dakwah ke Sabah.

“Dalam perjalanan dakwah saya ke Sabah , bergetar dan gugur jantung ini mendengar khabar duka pergi Imam Muda Miril.

“Ketika ini mulut tak berhenti berdoa agar allah berikan kesembuhan namun perancangan allah itu lebih hebat. Moga Allah SWT memberi kebaikan pada mu sahabat,” tulisnya.

Katanya lagi, Imam Muda Miril seorang insan soleh dan alim.



Miril atau nama sebenarnya Amiril Md Banin merupakan peserta program Imam Muda musim pertama.

Imam Muda Miril disahkan meninggal dunia akibat pendarahan otak di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang, 6.40 petang Rabu (semalam).

Miril yang juga penceramah bebas meninggal dunia pada usia 33 tahun, meninggalkan seorang isteri dan dua anak lelaki berusia lima dan dua tahun.

Jenazah tiba dari Kuantan kira-kira jam 11.40 malam semalam di kediaman bapanya di Taman Seri Raya, Ampang.

Bacaan tahlil telah diadakan selepas solat Subuh di rumah bapa Allahyarham dan jenazah diletakkan di Surau Taman Seri Raya untuk penghormatan terakhir jiran, saudara mara dan rakan sebelum dimandi dan dikafankan.

Jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Pusara Permai pada 11.30 pagi untuk dikebumikan.