Penyanyi Wani Kayrie, 18, mengakui dia telah menjangkakan akan menjadi antara peserta yang mendapat markah terendah di konsert minggu suku akhir Big Stage malam tadi.

Menurut Wani yang telah menyanyikan lagu Getaran Cinta Di Jiwa nyanyian asal Liza Hanim, dia sedar dengan kesilapan yang dilakukannya setiap minggu dalam setiap persembahan.

"Saya memang sudah menjangka akan menjadi antara tiga peserta yang mendapat markah paling rendah.

"Komen yang diberikan oleh juri memang fokus terhadap pitching suara saya.

"Itulah masalah saya setiap kali persembahan dan saya mengakuinya," katanya.

Tambah Wani, dia tidak menjangkakan juri tetap, Datuk Seri Siti Nurhaliza percaya dan nampak dengan bakat yang ada dalam dirinya.

"Saya sebenarnya tidak menjangkakan Siti selaku juri tetap percaya dan nampak dengan bakat yang ada dalam diri ini.

"Saya sudah menghampakan dia setiap minggu dengan kesilapan yang sama berulang kali.

"Apabila saya diberi sekali lagi peluang untuk meneruskan perjuangan di pentas Big Stage, saya akan membuktikan yang diri ini mampu melakukan kelainan daripada peserta lain," katanya kepada Gempak.

Wani ditemui usai program realiti Big Stage di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pada konsert minggu suku akhir ini, Siti telah menggunakan imuniti untuk menyelamatkan peserta daripada tersingkir.

Siti telah membuat keputusan yang tepat dengan memilih Wani untuk diselamatkan.

Secara tidak langsung, pada minggu ini tidak ada penyingkiran yang berlaku di konsert Big Stage.

Selain Siti dan Faizal Tahir, Jaclyn Victor juga memainkan peranan sebagai juri jemputan untuk konsert minggu suku akhir.

Jangan lepaskan peluang untuk terus menyaksikan pertarungan bintang muda dalam rancangan realiti baharu Big Stage.

Hanya enam bintang yang masih kekal di Big Stage iaitu Afieq Syazwan, Sarah Suhairi, Ariff Bahran, Shafiq Farhain, Wani Kayrie dan Baby Shima.

Rancangan yang ditaja oleh Vivo dan ditrendkan oleh TikTok ini akan disiarkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Big Stage turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan 'on demand'.

Layari laman web www.bigstage.com.myuntuk segala informasi mengenai program ini!