DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan berangkat hadir ke tayangan istimewa filem PASKAL The Movie yang diadakan pada malam Khamis.



Tuanku Sultan yang juga Kepten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia telah berangkat hadir bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.



Kehadiran keluarga diraja disambut Panglima Tentera Laut dan isteri.

Turut hadir bersama ke majlis tayangan tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shaari.



PASKAL The Movie berkisarkan mengenai kisah anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia.

Diadaptasikan dari kisah benar, PASKAL The Movie diinspirasikan dari kisah kejayaan pasukan elit itu dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan misi merampas kapal dagang MT Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Filem arahan Adrian Teh itu dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem ini yang bakal ditayangkan bermula 27 September ini!