Keadaan ekonomi yang tidak menentu turut memberi kesan pada ramai pengarah drama mahupun filem tempatan yang tiada kerja ketika ini.

Senario itu didedahkan sumber kepada Astro Gempak menyatakan ramai pengarah menganggur kerana tiada tawaran mengarah untuk projek drama atau filem baru.

"Apabila pengarah tiada kerja, Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) sepatutnya membantu ahli mereka," katanya.

Ujarnya, pengarah sebagai ahli tiada masalah jika persatuan mahu mengambi komisen sebanyak 10 peratus daripada tawaran kerja tersebut.

"Bagi saya FDAM tiada fungsi, sepatutnya persatuan membantu dalam mencari peluang mengarah kepada ahli.

"Ahli tak marah jika persatuan mengambil sedikit komisen daripada tawaran kerja mengarah asalkan persatuan membantu mencari peluang kerja tersebut," katanya.

Tambahnya, akibat situasi tersebut sumber mendakwa ramai pengarah enggan membayar yuran ahli FDAM.

Dalam pada itu, sumber berharap agar FDAM lebih peka pada pengarah baru yang tiada pengalaman mengarah tapi menjadi ahli.

"Sekarang ramai yang jadi pengarah dan siapa-siapa boleh jadi pengarah. Ramai juga tiada pengalaman mengarah dan tidak mengarah melalui persatuan tapi menjalankan tugas sebagai pengarah.

"Sepatutnya kena jadi penolong pengarah dan perlu menghantar 3 drama yang pernah dibuat sebelum menjadi ahli," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @filembelumadatajuk