Hadir bertongkat pada majlis makan malam meraikan kejayaan Hantu Kak Limah malam tadi, Datuk Awie mendedahkan sedang menerima rawatan akibat asid urik berlebihan pada bahagian kakinya.

Jelas Awie, sakitnya bertambah serius sejak tiga hari lalu hingga memaksanya terlantar di rumah.

"Alhamdulillah, saya semakin sihat cuma hari ini datang bertongkat. Saya sudah ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Doktor memberitahu asid urik tinggi walaupun saya tidak menjamah makanan berlemak atau makanan laut pun.

"Di rumah pula hanya makan roti dan bihun, tiba-tiba sakit. Bagilah apa juga ubat untuk menyembuhkan sampai dos ubat Voltaren yang tinggi sekali pun masih on dan off.

"Dua hari saya terlantar sakit tak boleh berjalan, tak apala janji kita okey. Kita usaha sahaja. Bagus juga kena ketika bukan waktu bekerja, kalau tidak parah juga," katanya kepada Gempak.

Bagaimanapun, mengulas lebih lanjut keadaan terbabit, Awie memberitahu sakit yang dialaminya berkemungkinan ada kaitan dengan gangguan mistik yang dialaminya dan isteri baru-baru ini.

"Tak tahu nak kata santau, gangguan atau apa... Siang semalam saya terkena dan ternampak (makhluk itu) dan malam semalam pun isteri saya menjerit tiba-tiba.

"Katanya macam ada orang datang nak cekik. Jadi, sekarang dia sudah ketakutan sampai nak keluar rumah pun takut.

"Katanya, dia nampak makhluk duduk bertinggung depan dia.

"Orang yang tak pernah lalui kalau saya cerita mesti akan ketawa nanti, bila sudah kena siang malam kita lawan sajalah," tambahnya.

Akui terleka, Awie cuma mendinding dirinya dan keluarga dengan zikir dan ayat-ayat suci al-Quran.

"Mujur anak-anak tak kena. Saya berdoa biar saya sajalah yang rasa, kasihan pada mereka.

"Apapun, ikhtiar saja yang saya mampu. Kadang-kadang mkita sebagai manusia mudah terleka, kalau ingat zikir insya-Allah ada penepis.

"Manusia kalau gembira sangat pun tak boleh, nanti lagi cepat (sakit itu) sampai," katanya yang bakal mengadakan Baik Punya Concert 4D di Singapura pada 13 Oktober depan.