Penyanyi Shiha Zikir atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir menceritakan pengalaman dihargai peminat di Indonesia.

Menurut Shiha, dia sering mendapat penerimaan yang baik oleh peminat di negara itu sehingga ada yang membuat dirinya berasa benar-benar tersentuh.

"Saya berasa amat bersyukur kerana mendapat penerimaan yang baik dari peminat di Indonesia.

"Pernah suatu ketika, ada peminat yang sanggup datang ke Jakarta menaiki kapal laut dari negeri lain di Indonesia, setelah tiba di Jakarta, peminat itu berlari dalam hujan sambil menangis.

"Rupa-rupanya peminat itu mahu berjumpa saya untuk menyerahkan 'teddy bear' sebagai tanda penghargaan, saya benar-benar tersentuh," ujarnya.

Shiha ditemui di Kempen Johara Tour bertempat di Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Sabtu lepas.

Dalam perkembangan lain, Shiha telah melancarkan single terbaru hasil duet bersama Aman Aziz yang berjudul Terdetik Rindu, video lirik lagu tersebut sudah mula berada di YouTube sejak beberapa hari yang lalu.