Pelakon Raysha Rizrose masih belum mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat bersama kekasihnya, pelumba kereta negara, Nabil Jeffri.

Biarpun hampir enam tahun menyulam cinta, pasangan ini selesa memberikan fokus terhadap kerjaya masing-masing.

"Memang kami sudah lama bercinta tetapi masih belum ada perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

"Buat masa ini, biar kami memperkukuhkan kerjaya. Masing-masing sibuk dengan kerja sendiri. Apa yang penting, kami saling memahami," katanya.

Enggan terburu-buru, pemilik nama penuh Farza Naquraisha Mohd Fariz ini turut menyifatkan yang usia mereka masih muda untuk berkahwin dan bergelar suami isteri.

"Kami tidak tergesa-gesa untuk berkahwin kerana kami masih muda. Saya baru sahaja berusia 22 tahun, Nabil pula bakal menginjak ke usia 25 tahun pada Oktober ini.

"Biarlah kerjaya datang dahulu, jika sudah berkahwin kelak, pastinya komitmen akan berubah untuk membina keluarga," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Cintaku Di Bumi Izmir baru-baru ini.

Menerusi drama bersiri tersebut, Raysha terpaksa belajar untuk bertutur dalam Bahasa Turki.

"Sukar sebenarnya untuk bertutur dalam Bahasa Turki. Saya ada mengikuti beberapa siri kelas sebelum melangkah ke set penggambaran.

"Sepanjang sesi penggambaran, saya dibantu oleh seorang rakyat Turki untuk menjaga dan memantau sebutan dialog saya," katanya.

Selain Raysha, karya ini dijayakan oleh Hefny Sahad, Nabila Razali, Syafie Naswip dan ramai lagi.

Diterbitkan oleh Creative Skill Solution, Cintaku Di Bumi Izmir bersiaran setiap Isnin dan Selasa jam 9 malam di HyppSensasi (Unifi TV saluran 116).