Penyanyi Tomok mengakui tidak menjangkakan bahawa dirinya akan bertahan sehingga minggu ketujuh program Super Spontan Xtravaganza (SSX).

Menurut Tomok, bukan mudah untuk dirinya berada dalam kalangan pelawak yang mempunyai pengalaman dalam bidang komedi.

"Kekal sehingga minggu ketujuh ini memang sesuatu yang patut saya banggakan kerana bidang saya adalah nyanyian.

"Ini kerana berada dalam kalangan pelawak ini merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dijangkakan kerana mereka ini semuanya hebat.

"Tapi Alhamdulillah dapat bertahan sampai minggu ketujuh ini sudah membuatkan saya puas dan gembira sebenarnya.

"Saya sudah buat yang terbaik tapi tiada rezeki jadi saya doakan yang terbaik untuk kumpulan Lobster Leleh," katanya kepada Gempak.

SSX bersiaran secara langsung dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Bertemakan ‘tukang masak’, SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej ‘tukang masak jalanan’ dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej ‘tukang masak di hotel’.

Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.

Setiap kumpulan akan dikritik dan diniali oleh dua jri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri jemputan.

SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan ‘on demand’.