Penyanyi Shahir Zawawi mengakui ibunya sering bertanya mengenai tarikh perkahwinannya dengan primadona filem alaf baru, Erra Fazira.

Menjalinkan hubungan rapat dengan Erra, bintang AF Megastar ini tidak terbeban dengan soalan serupa yang sering diajukan oleh ramai pihak.

"Saya akui ramai bertanya bilakah tarikh saya bakal berkahwin. Jika bukan wartawan yang bertanya, pihak lain juga mengajukan soalan yang sama.

"Emak saya sendiri pun selalu bertanya soalan sama kepada saya kerana sahabat serta kenalannya bertanyakan soalan serupa.

"Sejujurnya, saya tidak terbeban kerana jawapannya masih sama. Memang saya pernah cakap mahu mendirikan rumah tangga tahun ini, tetapi waktunya masih belum sampai lagi.

"Usaha ke arah itu memang ada tetapi masing-masing sedang sibuk dengan kerjaya. Saya mohon doa yang baik-baik untuk kami berdua," kata Shahir.

Tambah pelantun lagu Aku Yang Berdosa ini, dia juga tidak akan menyorokkan perkahwinannya kepada umum.

"Jika tiba masanya, pasti saya akan umumkan. Saya tak akan sorok dan sembunyikan perkahwinan.

"Perkara yang baik haruslah dikongsi bersama. Insya-Allah, bila tiba waktu sesuai, pasti saya akan hebahkan," katanya lagi.



Penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan ini ditemui pada majlis pelancaran restoran Teh Tarik Place cawangan kedua milik Cuisine Inspire bertempat di KIP Hotel, Sri Utara Business Park, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Selain Shahir, majlis yang diacarakan oleh Haziq Hussni ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Khai Bahar, Ara Johari serta Pengarah Cuisine Inspire, Fahrulrazi Kassim.



Menurut Fahrulrazi, ini merupakan fraincais kedua milik Cuisine Inspore selepas di Setapak Central.

"Selepas cawangan pertama yang dibuka pada Mac 2016 mendapat sambutan positif, cawangan kedua di KIP Hotel mula dibuka bermula awal September.

"Selain persembahan artis, acara ini juga menerapkan elemen kebangsaan bersempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia," katanya.