Penyanyi dan komposer Faizal Tahir bersyukur kerana telah menjadi artis lelaki pertama yang membuat persembahan di Acara Perbarisan Hari Kebangsaan yang telah diadakan di Putrajaya semalam.

Faizal berkata ia merupakan pencapaian sangat bermakna dalam karier sepanjang berada dalam industri hiburan tanah air.

“Alhamdulillah, terima kasih Malaysia untuk peluang sekali seumur hidup yang amat bermakna ini.

“Saya berasa rendah hati dan bangga kerana telah diberi keistimewaan untuk tampil membuat persembahan di hadapan pemimpin negara kita.

“Selamat Hari Kebangsaan Malaysia!” katanya.

Faizal Tahir mempersembahkan lagu Malaysia dihadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berserta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami beliau Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Menteri-Menteri Kabinet.

Bertemakan Sayangi Malaysiaku, sambutan Hari Kebangsaan menyaksikan empat komponen utama perarakan yang terdiri daripada kenegaraan, ketenteraman awam, keselamatan negara dan rakyat bersepadu.

Seramai 300,000 orang rakyat berbilang kaum terutamanya di sekitar Putrajaya dan Lembah Klang termasuk negeri-negeri lain serta pengunjung luar negara hadir bagi menunjukkan semangat kemerdekaan dengan tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan acara bersejarah tersebut.