Penyanyi dan pelakon Izzue Islam mengakui masih ada pihak yang mempertikaikan pemilihannya sebagai ketua kumpulan Sotong Kangkung dalam program Super Spontan Xtravaganza (SSX).

Menurut Izzue, pemilihannya sebagai ketua kumpulan dilakukan oleh pihak produksi dan itu merupakan cabaran bagi dirinya.

"Ramai juga yang mempertikaikan saya sebagai ketua kumpulan dalam SSX ini kerana bagi mereka latar belakang saya bukan sebagai seorang pelawak.

"Namun itu merupakan pemilihan daripada pihak produksi jadi saya terima dengan hati yang terbuka.

"Saya anggap itu merupakan rezeki dan cabaran untuk mengawal kumpulan saya supaya melakukan yang terbaik setiap minggu.

"Walaupun sebagai ketua kumpulan namun saya juga sama seperti mereka yang lain yang akan tersingkir juga," katanya kepada Gempak.

SSX bersiaran secara langsung dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Bertemakan ‘tukang masak’, SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej ‘tukang masak jalanan’ dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej ‘tukang masak di hotel’.

Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.

Setiap kumpulan akan dikritik dan diniali oleh dua jri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri jemputan.

SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan ‘on demand’.