Aktor Ammar Alfian menceritakan peristiwa dirinya yang tetap meneruskan lakonan walaupun mengalami kecederaan ketika sedang menjalani penggambaran filem PASKAL The Movie di Semporna, Sabah.

Menurut Ammar, 31, pengalaman melakukan aksi stunt terjun dari pelantar sangat berharga kerana ia merupakan kehendak diri sendiri.

"Walaupun mengalami kecederaan serius, saya tetap meneruskan penggambaran seperti biasa.

"Muka saya disolek bagi menutup kesan lebam dan bengkak.

"Kecederaan itu sudah baik dan saya bersyukur diberi peluang merasai pengalaman berharga seperti itu, kata Ammar.

Tambah Ammar atau nama sebenarnya Ammar Alfian Abd Aziz Mohd Zakri, dia mengalami kecederaan di bahagian kanan muka, leher dan gegendang telinga.

"Muka saya lebam dan cedera kerana terhantuk pistol yang dipegang ketika terjun dari pelantar yang dianggarkan setinggi tujuh tingkat.

"Selepas keluar dari air dan diberitahu kepala saya berdarah dan saya terus pengsan," katanya kepada Gempak.

Ammar ditemui di majlis sidang media filem PASKAL The Movie di GSC Signatures The Garden, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Filem arahan Adrian Teh ini akan menampilkan pembabitan PASKAL dalam misi merampas kapal dagang MT Bunga Laurel dari lanun Somalia di Teluk Aden pada tahun 2011.

Selain Ammar, filem ini turut dibintangi oleh Hairul Azreen, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.

Filem ini bakal ditayangkan pada 27 September depan di pawagam yang berdekatan.